Monday, February 28, 2011

SEJARAH AWAL NEGERI KELANTAN

 
 
Negeri yang sekarang bernama "Kelantan" dahulunya dikenali dengan 
berbagai-bagai nama. Sejarahnya amat lama dan tua. Ia lebih tua daripada 
negeri-negeri Melayu pantai barat seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, 
malah ia mungkin lebih tua daripada Kedah dan Patani.

Pada zaman ribuan tahun yang lalu, negeri Kelantan dikatakan bernama "Medang 
Kamulan". Kemudian tidak lama sebelum abad pertama ia bernama "Medang Gana", 
dan nama ini berlanjutan hingga abad ke-5 sebelum ia berubah kepada "Kalatana" 
atau "Tanah Kala". Catatan China menyebut nama ini sebagai "Ho-la-tan" atau 
"Ko'ulo-tan". Nama ini dipakai sehingga separuh bahagian kedua abad ke-6.

Pada akhir abad ke-6 Masehi, nama negeri Kelantan bertukar kepada 
"Raktamrittika" yang bererti Negeri Tanah Merah. Nama ini diberi oleh Raja 
Kelantan yang bernama Gautama selepas ia melancarkan pemberontakan terhadap 
Fu-nan (Kemboja), lalu mendirikan ibu kotanya di daerah padalaman Kelantan yang 
strategik dan kaya dengan emas. Ahli-ahli sejarah berpendapat bahawa 
Raktamrittika ini adalah sama dengan "Chi'ih-tu" yang disebut oleh Wei Cheng 
(581-643) dalam Shi-Shu. Dinyatakan dalam catatan China ini bahawa Chi'h-tu 
terletak di selatan Langkasuka (lebih kurang Patani sekarang). Ada digambarkan 
dalam catatan dan jaraknya antaranya dengan Champa ialah sejauh sepuluh hari 
perjalanan. Tidak syak lagi bahawa lokasi seperti ini ialah negeri Kelantan 
sekarang. 
Dalam abad ke-7 Masehi sebuah nama baharu, "Sri Wijaya Mala" muncul 
menggantikan Raktamrittika. Dalam tahun 677 Masehi, maharajanya, Sri Jayanaga, 
berjaya menakluk seluruh Semenanjung lalu mengisytiharkan nama "Sri Wijaya" 
bagi negara yang dibangunkannya. Negara ini kemudian meluas sampai keluar 
Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Melayu di Sumatera pada kira-kira abad ke-7. 
Di sini baginda membangunkan sebuah ibu kota yang baru di sekitar Palembang 
sekarang. Negeri Kelantan (Sri Wiajaya) diserahkan kepada puteranya, Sri 
Maharaja Dripantara, manakala Palembang (Sri Wijaya II) diberi kepada puteranya 
Sri Maharaja DiRaja. Kedua-dua kerajaan ini kemudiannya disatukan oleh Sanjana, 
cucu baginda dalam sebuah empayar yang disebut oleh orang China San-Fo-Tse 
(Tanah Seri Indah Sekebun Bunga). Peristiwa ini terjadi dalam abad ke-8 Masehi.

No comments:

Post a Comment